suria

Wanita BN Gesa Kerajaan Ambil Alih Urusan Pengambilan Amah

KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) menggesa supaya kerajaan mengambil alih pengurusan dan pentadbiran pengambilan pembantu rumah Indonesia di negara ini bagi memastikan ia berjalan lancar di samping mengurangkan kos urusan berkenaan.

Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jentera wanita BN sehingga ke akar umbi menerusi program kemasyarakatan melihatnya sebagai isu yang berat dan mustahak yang perlu diselesaikan dengan segera terutama di kalangan wanita dan suri rumah.

"Wanita BN tidak bersetuju dengan cadangan supaya kos pengambilan pembantu rumah asing ditetapkan pada harga RM6,700.

"Oleh itu, kami mengesyorkan supaya perkara ini diuruskan menerusi G2G (kerajaan dengan kerajaan). Dan jika kerajaan mengambil alih supaya kos dihadkan kepada RM3,000 kepada RM4,000 mengikut fleksibel," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) pada Jumaat minggu lalu mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada harga RM6,700, berkuatkuasa serta-merta.

Struktur kos baru itu tidak termasuk tambahan RM1,000 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.

Shahrizat berkata, isu pengambilan pembantu rumah asing membabitkan sumbangan wanita dan suri rumah kepada pembangunan ekonomi negara.

"Jika kerajaan ambil alih, diminta yuran (pengambilan) tidak melambung tinggi. Jika tidak, (nanti) terlalu ramai isi keluarga tidak mampu mengambil pembantu rumah asing.

"Dengan G2G, kos akan dapat dikurangkan, dan pengurusan dilakukan dengan cara lebih teratur, tanpa memudaratkan sesiapa," katanya.

Beliau menambah, sebaik-baiknya kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan agensi yang khusus untuk pengambilan pembantu rumah asing.

"Kerajaan boleh berikan rancangan yang teratur bagi memastikan segala urusan itu berjalan lancar, pantas dan (harga) berpatutan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan itu hanya akan menjejaskan perniagaan agensi pembantu rumah asing, Shahrizat berkata, semuanya pihak berkaitan boleh mengadakan kerjasama secara bijak.

"Ia bergantung pada kerajaan untuk membahagikan rancangan itu bagi memastikan operasi berjalan dengan licin.

"Kita tidak mahu perniagaan mereka terjejas. Apa yang kita mahu adalah situasi menang-menang, tetapi keutamaan pada keperluan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kementerian yang berkaitan berhubung isu pengambilan pembantu rumah Indonesia sekiranya ada keperluan atau diminta berbuat demikian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain