suria

Konsultan Didakwa Minta Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang konsultan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan meminta rasuah RM4,000 daripada seorang pengurus restoran, tahun lepas.

Mohd Rashid Roy Abdullah, 50, didakwa meminta suapan wang tunai RM4,000 daripada Chew Hian Tat melalui perbualan telefon sebagai dorongan bagi membolehkan restoran diurus Chew menjalankan perniagaan tanpa masalah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan tertuduh tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Mohd Rashid didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane dekat sini pada 12.30 tengah hari, 12 Nov tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh manakala peguam Wan Mohd Shamril Wan Afzam yang mewakili Mohd Rashid memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berpendapatan tidak tetap.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Jan ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain