suria

Najib, Rombongan Program Integrasi 1Malaysia AirAsia Diterbangkan Ke Kuantan

KUANTAN: Pesawat Airbus A320 AirAsia pada Sabtu membawa dua penumpang istimewa iaitu pemimpin nombor satu negara Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sempena pelaksanaan 'Program Integrasi 1Malaysia bersama AirAsia.

Pesawat yang berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) kira-kira pukul 11 pagi itu membawa Perdana Menteri dan isteri ke Kuantan, Pahang sempena pelaksanaan program itu yang menyaksikan tawaran penerbangan percuma bagi laluan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Najib turut diiringi 100 delegasi program berkenaan yang terdiri daripada ketua kaum dan ketua masyarakat dari Sabah dan Sarawak, selain para pengurusan kanan AirAsia Berhad dan AirAsia X.

Ketika di dalam pesawat, Najib sempat menandatangani ruangan khas di hadapan kabin dan menulis "Integrasi Nasional Melalui 1Malaysia AirAsia" di atasnya.

Pesawat yang dipandu Kapten Ilyana Nazli Shah itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan tengah hari, Sabtu.

Najib dan Rosmah kemudiannya bergerak menuju ke Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah bagi program berlainan.

Delegasi program yang bertujuan untuk memupuk integrasi dan perpaduan nasional itu kemudiannya dibawa mengunjungi Kompleks Automotif DRB-HICOM di Pekan dengan menaiki bas.

Selepas makan tengah hari, delegasi dibawa melawat kilang pemasangan kereta Mercedes-Benz.

Salah seorang peserta dari Tawau, Sabah Syakirah Roland, 37, berkata beliau amat berbangga kerana dapat mewakili etnik Cocos dalam program berkenaan yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan masyarakat Sabah dan Sarawak dengan semenanjung.

"Kami diminta memakai pakaian etnik masing-masing dan sekarang saya memakai baju kebaya Cocos. Cara ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan cara berpakaian etnik saya kepada orang Semenanjung," kata pengusaha butik itu.

Penghulu masyarakat Iban Daerah Kuching Sidu John berkata kesempatan dapat bersalaman dengan Perdana Menteri adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

"Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang terutamanya lawatan balas orang semenanjung ke Sabah dan Sarawak pula," katanya yang berterima kasih dengan sambutan mesra masyarakat Pahang terhadap mereka.

Sebelum mengakhiri lawatan itu, mereka dibawa melawat Perumahan Bersepadu Kampung Pulau Serai, Mukim Pahang Tua di Pekan bagi majlis minum petang. - BERNAMA

Artikel Lain