suria

Tiga Rumah Musnah, Dua Lagi Rosak Dalam Kebakaran Di Tawau

TAWAU: Tiga buah rumah musnah manakala dua buah lagi rosak dalam kebakaran di Tanjung Batu Darat dekat sini Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzek berkata kebakaran itu dikesan anggotanya yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan kira-kira 2.14 petang ketika membuat rondaan menggunakan sebuah jentera bomba sempena permulaan tahun 2013.

Katanya sejurus mengesan kebakaran itu, pihaknya terus meminta bantuan dan dua lagi jentera bomba tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Rudy berkata 17 anggota bomba yang terlibat memadamkan kebakaran itu berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran 24 minit kemudian.

"Kami juga berterima kasih kepada penduduk kampung, terutama golongan belia, yang turut membantu bomba memadamkan kebakaran," kata Rudy.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan manakala punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Seorang mangsa, Adawiyah Wahid, 45, yang tinggal sehelai sepinggang berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di kawasan bandar Tawau namun bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu.

Katanya walaupun yang terselamat cuma dokumen peribadi anggota keluarganya kerana dokumen itu selalu dibawa bersamanya, dia tetap bersyukur kerana menantu dan seorang cucunya yang berada di rumahnya ketika kejadian terselamat. -BERNAMA

Artikel Lain