suria

APMM Gagalkan Cubaan Seludup 1,950 Karton Rokok Ke Negara Jiran

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,950 karton pelbagai jenama rokok melibatkan anggaran cukai sebanyak RM90,000 di pantai Tanjung Rhu di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Salem Ahmad berkata, rampasan itu dibuat sepasukan anggota APMM pada 12.10 pagi ketika meronda di perairan berhampiran negara jiran itu.

Katanya, pasukan itu mengesan sebuah bot bersama dua orang anak kapal di Tanjung Rhu dipercayai menuju ke sempadan sebelum bertindak mengejar dan mengarah mereka berhenti, namun bot itu berpatah balik menuju ke daratan.

"Dua lelaki di dalam bot tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri sebaik mendarat," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 1,950 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM24,375.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam kerana mengeksport barangan bukan di tempat yang dibenarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain