Benteng Empangan Di Besut Terpaksa Dipecahkan Demi Keselamatan Penduduk - Ahmad said - Semasa | mStar

Benteng Empangan Di Besut Terpaksa Dipecahkan Demi Keselamatan Penduduk - Ahmad said

KUALA TERENGGANU: Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan pada Isnin untuk melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan di empangan.

Katanya langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.

Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat ini, ke pusat pemindahan banjir.

"Empangan ini belum lagi siap dan kandungan air di dalamnya mungkin belum sampai tahap maksimum. Kita takut tekanan dan air melimpah dan sebagainya, sebab itu kita terpaksa buat (pecahkan) melibatkan perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, Selasa.

Ahmad menasihati penduduk di daerah berkenaan agar berwaspada, bertenang dan sentiasa mengikuti arahan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan pelepasan air daripada empangan itu.

Beliau berkata beberapa kawasan di daerah Besut sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh dan bukan disebabkan tindakan melepaskan air empangan sepertimana yang berlaku sekarang.

"Walaupun empangan ini siap setahun dua lagi, banjir tetap juga berlaku kerana Besut mempunyai kawasan rendah dan sawah padi. Cuma dengan adanya empangan, ia (banjir) diharap dapat dikurangkan," katanya.

Empangan Paya Peda yang dibina dua tahun lepas dengan kos RM333 juta dijangka siap pertengahan tahun depan.

Projek itu terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh.

Apabila siap kelak, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Bilik Di Memorial Tun Hussein Onn Terbakar

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain