Tapisan SPRM, Kaedah Tepat Pilih Calon Bersih - Semasa | mStar

Tapisan SPRM, Kaedah Tepat Pilih Calon Bersih

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) yang melalui proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan merupakan kaedah tepat untuk pilih calon bersih di samping memberi imej lebih baik kepada parti.

Pemimpin parti, pemerhati dan penganalisis politik berpendapat langkah itu akan dapat membantu BN mencari calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan parti.

Pemerhati politik Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata kaedah itu akan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membuat pilihan tepat dengan memilih calon yang bersih daripada sebarang tuduhan dan sangkaan negatif.

"Rekod yang baik perlu ada sebagai ciri-ciri seorang calon 'winnable candidate' bagi memenuhi janji Najib mencari calon yang benar-benar layak untuk menerajui perjuangan BN," kata Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) itu kepada Bernama.

Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar mencadangkan agar kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon mereka kepada SPRM terlebih dahulu untuk ditapis bagi memastikan mereka 'bersih' selain mengelak sebarang tohmahan.

"Tapisan SPRM ini sebagai langkah awal membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan amat teliti dalam memilih calon yang akan membela rakyat selain memberi jaminan bahawa calon yang dipilih sememangnya boleh diharap," kata Dr Zainal.

Beliau berkata BN perlu meletakkan syarat yang tinggi bagi seseorang calon untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN untuk terus memerintah negara ini.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata calon yang melepasi tapisan SPRM akan memberikan gambaran positif kepada rakyat.

Langkah itu bertepatan kerana semua orang akan cuba menonjolkan diri untuk menjadi 'calon boleh menang' tetapi apabila keputusan tapisan dikeluarkan SPRM, mereka perlu akur, kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Bagaimanapun, beliau yakin kebanyakan calon sememangnya layak tetapi tapisan itu akan menonjolkan lagi kredibiliti seseorang calon yang dipilih.

Umno dan BN katanya memerlukan calon boleh menang serta layak untuk terus berjuang setelah pemimpin terdahulu berjaya mencapai kemajuan sejak merdeka hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata proses tapisan itu dapat membuktikan bahawa seseorang calon benar-benar telus dan layak untuk bertanding.

"Ia adalah satu langkah yang baik agar dapat mengelak masalah lebih besar serta menyusahkan rakyat jika calon tersebut bermasalah dan terbabit rasuah selepas pilihan raya berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.

Rosnah berkata penapisan berkenaan juga akan menambah lagi keyakinan rakyat terhadap calon tersebut.

Di KUCHING, Anggota Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim berkata proses tapisan itu akan membantu menaikkan imej BN.

"Kita tidak mahu calon yang mempunyai perlakuan tersembunyi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tun Dr Lim Keng Yaik Meninggal Dunia

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain