suria

Mayat Wanita Ditemui Dalam Kereta

JOHOR BARU: Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan plastik ditemui di dalam sebuah kereta berhampiran sebuah dusun di Kampung Desa Idaman, Sedenak, Kulaijaya pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya DSP Mohd Kamil Sukarmi berkata wanita berkenaan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di tempat duduk pemandu kereta itu.

Mayatnya ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Mayat mangsa yang berusia 20-an ditemui oleh penduduk kampung yang curiga melihat kereta tersebut ditinggalkan tidak jauh dari jalan masuk ke dusun berkenaan," katanya.

Menurutnya polis yang tiba ditempat kejadian kemudiannya menemui dokumen pengenalan diri, namun masih menyiasat sama ada ia milik mangsa.

Mohd Kamil berkata polis percaya suspek cuba membakar kereta berkenaan namun hanya kerusi tempat duduk penumpang hadapan yang terbakar.

"Polis juga percaya kenderaan ini merupakan kenderaan curi kerana nombor pendaftaran yang digunakan menyamai dengan nombor pendaftaran sebuah kenderaan lain," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah.

Orang ramai yang kehilangan saudara mara atau mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi balai polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain