suria

Lawatan Keluarga Banduan Sempena Krismas Pada 25 & 26 Disember

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menetapkan 25 dan 26 Dis ini sebagai tarikh lawatan bagi keluarga banduan, tahanan dan juvenil sempena sambutan Hari Krismas tahun ini.

Ketua Unit Urusetia, Bahagian Dasar Kepenjaraan Abdul Rahman Taib berkata bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tempat tahanan perlindungan Kamunting Taiping, Perak, tarikh lawatan ditetapkan pada 25 Dis.

Lawatan bagi banduan di semua institusi penjara, pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney ditetapkan pada 26 Dis, katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Waktu lawatan bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan keutamaan kepada banduan/tahanan/juvenil beragama Kristian sahaja, katanya.

Menurutnya semua lawatan di institusi penjara ditutup pada hari pertama dan kedua perayaan kecuali bagi tempat tahanan perlindungan Kamunting, Taiping.

Bagi memudahkan urusan, pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan, selain tidak dibenar membawa makanan dan minuman namun boleh dibeli di kantin penjara.

Abdul Rahman berkata pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada banduan kecuali jika berkaitan dengan urusan tertentu seperti pembayaran yuran peperiksaan. BERNAMA

Artikel Lain