suria

Cadangan Kaji Semula Dasar Perumahan Negara

KUALA LUMPUR: Dasar Perumahan Negara perlu dikaji semula supaya sesuai mengikut peredaran zaman, kata Senator Norliza Abdul Rahim.

Beliau berkata ini berikutan kesukaran rakyat terutama golongan pertengahan dan berpendapatan rendah memiliki rumah akibat harganya yang semakin tinggi saban tahun.

"Kita mempunyai banyak masalah sekarang sebab kita ada dasar tapi tidak pernah dikaji ikut peredaran zaman, kerana keadaan (harga) tanah semakin tinggi, tetapi dasar kita masih dasar yang ke belakang," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada Persidangan Dewan Negara di sini, Rabu.

Norliza berkata penetapan kadar harga rumah mampu milik juga perlu dikaji semula kerana kadar RM200,000 hingga RM400,000 pada masa ini masih tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah di bandar.

"Sekiranya pemaju sanggup bina rumah mampu milik, pelannya diproses dengan kadar segera supaya dapat membantu menurunkan 'holding cost' dan rumah boleh dibina pada kadar harga lebih murah," katanya. Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan bank tanah dengan membeli tanah yang boleh dibangunkan di seluruh negara bagi mengurangkan kenaikan harga rumah. "Kita harus mempunyai 'land bank', kerana apabila kadar harga tanah naik kita masih mampu untuk membina rumah bagi golongan berpendapatan rendah sebabnya sewaktu kita membeli tanah tersebut harganya masih belum tinggi," katanya.

Sementara itu, bagi memperkasakan pendidikan pra-sekolah, Norliza turut mencadangkan supaya silibus dan kurikulum Permata diguna pakai oleh semua Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Tadika Perpaduan di seluruh negara.

Beliau berkata sejak ditubuhkan kerajaan, kedua-dua institusi yang menyediakan program pendidikan awal itu tidak pernah dikaji semula dan penerapan silibus Permata sudah pasti dapat meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. -BERNAMA

Artikel Lain