suria

Pelaburan Januari-November Iskandar M'sia Bernilai RM20.36 Bilion

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan bahawa pelaburan bernilai RM20.36 bilion sudah dijanjikan untuk Iskandar Malaysia antara Januari dan November tahun ini.

Angka ini melepasi sasaran pelaburan sebanyak RM100 bilion, serta pelaburan menyeluruh yang dijanjikan mencecah RM105.14 bilion dalam pelbagai sektor, dengan 42 peratus menjadi kenyataan sehingga akhir November.

"Saya bangga terhadap prestasi koridor, terutama menyaksikan kenyataan dan operasi projek-projek pemangkin pada 2012," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat anggota berkuasa Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) pada Selasa.

Sektor teras yang merangsang pertumbuhan kukuh sebahagian besarnya bidang hartanah, termasuk komersil, runcit dan industri, pembuatan dan utiliti, dengan 64 peratus daripada jumlah pelaburan yang dijanjikan atau RM67.69 bilion, merupakan pelaburan domestik dan 36 peratus atau RM37.45 bilion membabitkan pelaburan asing.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sektor pelancongan yang membabitkan Legoland Malaysia dan Puteri Harbour Family Theme Park, kejayaan Educity iaitu Newcastle University, University of Southampton Malaysia Campus dan Raffles University Iskandar, institusi pendidikan lain seperti Marlborough College dan Raffles American School dan yang paling menarik, sektor runcit KSL, Medini Lifestyle Retail Mall dan Galleria @ Kota Raya, menambah kerancakan penggunaan domestik.

"Saya juga bangga kerana menerusi IRDA, Iskandar Malaysia memperoleh kedudukan kukuh dalam pembangunan hijau dan lestari dengan anggota MoA menyokong pelancaran pelan tindakan Masyarakat Rendah Karbon pada pelancaran sesi ke-18 Pihak-pihak (COP18) di Doha pada 30 Nov," katanya.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata kejayaan besar memperoleh pelaburan RM100 bilion itu bukan semata-mata hasil kerja keras IRDA secara bersendirian, malah hasil pemahaman, usaha sama agensi-agensi negeri dan persekutuan serta pelaksanaan pelan induk medan hijau Nusajaya oleh pemaju utama dan pembangunan semula bandar raya JB.

"Pelabur domestik dan sokongan perusahaan kecil dan sederhana serta keyakinan terhadap visi yang sama, yang memacu Iskandar Malaysia berada pada kedudukan untuk mencatat pertumbuhan seterusnya," katanya.

Daripada RM105.14 bilion jumlah pelaburan terkumpul yang direkodkan oleh Iskandar Malaysia, pelaburan dalam perkilangan menyumbang RM33.9 bilion, hartanah RM35.1 bilion, kerajaan RM7.3 bilion, utiliti RM9.5 bilion, pelancongan RM2.1 bilion, petrokimia dan logistik RM5.7 bilion, pelabuhan dan logistik RM3.7 bilion, kreatif RM0.4 bilion, pendidikan RM1.6 bilion, penjagaan kesihatan RM1.6 bilion dan lain-lain RM4.2 bilion.

Ismail berkata sektor kreatif, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan logistik merupakan tarikan pada 2013 hingga 2015.

"Ia merupakan sokongan kepada pembukaan sulung Pinewood Iskandar Malaysia Studios dan projek penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.

"Kami juga sedang mempersiapkan Iskandar Malaysia untuk meningkatkan tarikan pelancong dalam tempoh 2013-2015 menerusi pembukaan Legoland Malaysia, pembangunan Kota Iskandar, Johor Premium Outlets dan Puteri Harbour," katanya.

Beliau berkata sambutan dan perhatian pelabur semasa dalam kalangan peniaga tempatan dan antarabangsa, persatuan dan majlis menyediakan landasan hebat untuk Iskandar Malaysia.

Ismail juga berterima kasih kepada kerajaan, yang setakat ini menjanjikan RM7.3 bilion di Iskandar Malaysia bagi membangunkan infrastruktur baharu dan menaik taraf kemudahan sedia ada dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan dan 10 bagi menarik dan meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata nisbah pelaburan sektor swasta dan awam meningkat daripada 1:1 pada 2006 kepada 13:1 pada 2012.

"Angka ini sendiri merupakan kejayaan ketara dan penting memandangkan ia mencerminkan keyakinan terhadap pembangunan Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain