suria

AirAsia Rancang Buka Kaunter Khas Untuk Penyokong Harimau Malaya Ke Bangkok

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia merancang untuk membuka kaunter khas berkonsepkan 'Siapa Cepat, Dia Dapat' kepada penyokong Harimau Malaya yang ingin ke Bangkok, Thailand.

Harimau Malaya akan menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Supachalasai, Bangkok, Khamis ini.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal mencapai keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamaruddin Meranun berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyediakan pesawat khas bagi tujuan itu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut jumlah pesawat yang akan digunakan untuk penerbangan ke Bangkok disebabkan pihaknya terlebih dahulu perlu melihat jumlah pesawat syarikat untuk tujuan lain seperti penerbangan harian.

"Seperti yang kita tahu bulan Disember adalah musim cuti sekolah, sehubungan itu kita sedang mengkaji cara terbaik untuk membawa seramai mungkin penyokong dengan tawaran harga terendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penghantaran pasukan Harimau Malaya oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini Isnin.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pakej ke Bangkok itu meliputi tiket pergi-balik serta perkhidmatan bas dari lapangan terbang di Bangkok ke stadium berkenaan.

Sebelum ini, penyokong setia pasukan kebangsaan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Ultras Malaya' bercadang menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Bangkok bagi memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan. - BERNAMA

Artikel Lain