suria

Kastam Mahu Tambah Mesin Pengimbas

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia mahu menambah bilangan mesin pengimbas di semua pintu masuk ke negara ini termasuk menggantikan mesin lama, dalam usaha mengekang penyeludupan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata langkah itu juga bagi memastikan pegawai kastam dapat meningkatkan kecekapan menerusi penggunaan peralatan berteknologi canggih.

"Kita melakukan penambahbaikan ini dari semasa ke semasa untuk memastikan pegawai kita bekerja dalam situasi yang positif dan pada masa sama mereka menggunakan kelengkapan yang bersesuaian dengan kehendak pentadbiran kastam," katanya pada sidang media, di sini, Jumaat.

Katanya terkini, jabatan itu memasang empat unit mesin pengimbas baharu bernilai RM49 juta di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Baharu.

Mengenai aktiviti penyeludupan di negara ini, Khazali berkata pada tahun ini setakat semalam, kastam berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM491 juta dengan nilai cukai RM357 juta.

Sebanyak 2,800 kes membabitkan penyeludupan rokok, 99 kes dadah dan 924 kes seludup minuman keras dikesan sepanjang tempoh tersebut, katanya.

Beliau sebelum itu hadir majlis perasmian Pejabat Kastam Seremban 2 yang dilakukan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai. Pejabat bernilai RM15 juta itu menempatkan Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain