suria

Projek Lencongan Timah Tasoh Bakal Kurangkan Risiko Banjir Di Perlis

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh yang bakal dilaksana di negeri itu akan mengurangkan risiko banjir di kawasan rendah.

Menurutnya, projek bernilai RM260 juta itu yang kini dalam proses penilaian tender akan membentuk laluan air dari Empangan Timah Tasoh ke Kuala Perlis meliputi jarak sejauh 22 kilometer.

Projek yang dijangka siap pada 2015 itu membabitkan pengambilan tanah di kawasan Wang Bintong, Kurong Batang, Kuala Perlis, Beseri dan Titi Tinggi, katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang), pada persidangan dewan undangan negeri, di sini pada Khamis.

Katanya projek itu juga akan menyumbang bekalan air untuk pengairan tanaman, rekreasi dan pelancongan.

Menjawab soalan Hashim Jasin (PAS-Sanglang), Md Isa berkata kerajaan negeri sedar akan kemelut kewangan dalam Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan telah menyumbang RM1.2 juta setakat ini bagi membantu PFA menyelesaikan masalahnya.

Katanya kerajaan negeri juga tidak menyokong sebarang tindakan bertentangan undang-undang termasuk meminjam daripada ceti haram atau 'along'.

Hashim dalam soalannya membangkitkan laporan media mengenai kenyataan Shahidan selaku Presiden PFA bahawa beliau terpaksa meminjam daripada along untuk membiayai persatuan itu.

Dewan bersambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain