suria

Tarian Cuti-cuti Malaysia, Untuk Kesihatan Dan Warisan -Rosmah

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata Karnival Pelancongan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia bertindak sebagai serampang dua mata, bukan sahaja untuk menjaga kesihatan tetapi juga memulihara warisan budaya.

Beliau berkata program itu mampu mempromosi amalan penjagaan kesihatan yang baik dan mengharmonikan masyarakat melalui penyertaan pelbagai kaum.

"Ia sekaligus membuktikan kesenian tradisional rakyat boleh diguna pakai dalam apa jua perkara termasuk senaman," katanya semasa melancarkan program itu di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Elemen-elemen yang digabungkan dalam tarian itu adalah tarian joget dan zapin, tarian Cina, tarian India, tarian Sumazau, tarian Ngajat, tarian Orang Kita, tarian Siam, tarian 1Malaysia for Youth dan tarian 1Malaysia selain diselitkan tarian moden dan 'Gangnam Style'.

Dengan kepelbagaian tarian yang dipersembahkan, beliau percaya keunikan budaya dalam setiap kelompok masyarakat berbilang kaum dapat dihargai dengan lebih mendalam.

Menurutnya program seumpama itu yang dianjurkan sejak 2009 diharap mampu menarik penyertaan pelancong asing ke Malaysia sekaligus dapat memperkenalkan setiap tarian dalam senaman yang memaparkan kekayaan warisan dan budaya.

Beliau turut mencadangkan agar ia dijadikan acara tahunan yang diletakkan dalam kalendar umum untuk meningkatkan penyertaan seluruh rakyat supaya mengamalkan aktiviti riadah yang sihat seumpama ini.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata lebih 16,000 peserta dari seluruh negara menyertai program itu hari ini tanpa mengira usia dan bangsa.

Selain di Putrajaya, program itu juga akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Dis dan di Kuching, Sarawak pada 16 Dis depan. BERNAMA

Artikel Lain