suria

PM Ikrar Pertahan Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berikrar bahawa beliau bersama-sama pimpinan Umno akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu.

Beliau juga berjanji akan terus mempertahan akidah umat Islam dan memelihara agama yang suci ini.

"Saya selaku Presiden Umno, bersama-sama Timbalan Presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini.

Beliau berkata Umno juga tidak akan berundur daripada terus berbakti kepada rakyat Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan.

"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, Umno tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah jalan. Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. Umno dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," kata Najib.

Dalam ucapannya itu, perdana menteri turut memperlihatkan sikap rendah dirinya apabila meminta maaf bagi pihak kepimpinan parti dan kerajaan atas segala kesalahan yang dilakukan.

"Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah disandung atau tersalah.

"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan 10 memohon maaf atas kekhilafan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan presiden parti Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berasa kagum dengan ucapan Najib yang menyeru anggota Umno supaya bersama-sama dengan parti-parti komponen lain mengamalkan sikap rendah hati bersama rakyat.

"Ucapan Perdana Menteri amat jujur dan beliau juga mohon maaf kepada rakyat atas kesilapan dahulu," katanya.

Koh yakin perdana menteri sudah ada perancangan untuk berganding bahu dengan parti-parti komponen lain dalam mendapatkan sokongan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain