suria

Deepavali Diharap Terus Kukuh Perpaduan Kaum - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya bagi masyarakat India, menerangi segala kegelapan yang menghalang kepada perpaduan di antara kaum di negara ini.

Beliau berkata langkah itu bagi rakyat menikmati kehidupan yang harmoni atas dasar toleransi yang sememangnya amat penting dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia.

Katanya sempena sambutan yang diraikan bukan sahaja oleh penduduk berketurunan India malah rakyat berbilang kaum di negara ini, beliau mengajak rakyat untuk sama-sama bersatu hati mengorak langkah membina negara Malaysia yang aman sentosa dan membangun dengan cemerlang.

"Sambutan perayaan Deepavali yang merupakan cuti umum di negara ini dan juga jatuh semasa cuti sekolah tentulah peluang terbaik untuk kita semua saling kunjung mengunjungi dan menghargai sumbangan masyarakat India yang turut memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia negara tercinta," katanya dalam perutusan Deepavali, pada Isnin.

Beliau berkata perayaan Deepavali (Pesta Cahaya) juga adalah simbol meraikan kebaikan menumpaskan kejahatan dan cahaya menumpaskan kegelapan.

"Semoga sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini memberikan cahaya kepada kaum India di negara ini untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan berpanjangan.

"Kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain