suria

Mayat Lelaki Dijumpai Terapung Di Laut Berhampiran Pulau Ketam

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dijumpai terapung di tengah laut kira-kira dua batu nautika dari Rumah Api Permatang Sedepa, Pulau Ketam, Klang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rosli Mohd Isa berkata mayat yang sudah berbau itu dijumpai pada 6 petang Sabtu lepas dalam keadaan telangkup, dan pemeriksaan awal mendapati kesan jerut di leher selain kecederaan di bahagian kepala.

"Siasatan awal polis menunjukkan mangsa berumur 28 tahun dan merupakan pemandu teksi bot.

"Polis mendapat laporan daripada anggota keluarga tentang kehilangan mangsa bersama bapanya yang berumur 60 tahun pada 31 Okt lepas," katanya kepada pemberita.

Rosli berkata pasukan polis marin bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang mengesan bapa mangsa yang masih hilang, dan tidak menolak kemungkinan bot yang mereka naiki berada di sekitar perairan Indonesia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain