suria

Guru Yoga Dipenjara Tiga Bulan, Cederakan Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Khamis selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan teman wanitanya, Sabtu lepas.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Khoo Ling, 39, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap Isnin lepas.

Khoo didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Chin Ji Wen, 23, seorang konsultan pemasaran, di sebuah rumah di Jalan Wangsa Budi 7, Wangsa Melawati, di sini pada 3.30 petang hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana perbuatan tertuduh itu menyebabkan kecederaan fizikal dan mental terhadap mangsa.

Sementara itu, Khoo Ling dalam rayuan meringankan hukuman memberitahu mahkamah perbuatannya itu adalah tidak disengajakan dan ketika itu dia berada dalam keadaan tertekan kerana ibunya nazak.

"Saya tahu saya bersalah, tapi saya masih sayangkan teman wanita saya dan mahu kembali hidup bersamanya," katanya.

Di mahkamah yang sama, dua rakan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan dua pegawai dan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, minggu lepas.

Muhammad Ramzan Hussan dan Mohd Afiq Sihar, masing-masing berusia 20 tahun didakwa dengan sengaja mencederakan ASP Ong Seng Keong, 37, Inspektor Lew Keng Joe, 32, dan Sarjan Kee Hun Khoon, 52, ketika sedang menjalankan tugas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di K-Box Signature Family Karaoke One Metro Pudu, Cheras di sini pada 10.30 malam, Jumaat lepas dan didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Majistret Zaki Asyraf membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Nov untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain