suria

Fama Selangor Yakin Capai 334 Hektar Ladang Kontrak

SHAH ALAM: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor yakin mencapai sasaran 334 hektar ladang kontrak membabitkan nilai pengeluaran berjumlah RM25 juta menjelang hujung 2012, kata Pengarahnya, Mansor Omar.

Beliau berkata 210 peserta dijangka terlibat DI dalam program ladang kontrak yang diperkenalkan pada 2011, dengan hasil pengeluaran pertanian termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran melebihi 14,000 tan metrik.

"Sehingga September lepas, Fama Selangor telah mencapai keluasan 303 hektar ladang kontrak membabitkan beberapa daerah di negeri itu, termasuk Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang," katanya kepada Bernama di sini.

Mansor berkata sehingga kini terdapat 194 orang peserta dengan hasil pertanian mencecah 14,833 tan metrik dalam program yang diperkenalkan pada 2011.

Beliau berkata Tanjong Karang mencatatkan jumlah peserta tertinggi, iaitu 44 orang, Sungai Besar dan Kota Raja masing-masing 31 orang, Kuala Langat (26 orang) dan Sepang (20 orang).

"Kita yakin sasaran ini akan dicapai dan ia merupakan usaha berterusan dalam memastikan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya peladang dan petani dapat menjual terus barangan mereka kepada pembeli melalui pasar tani dapat direalisasikan," katanya.

Program ladang kontrak adalah satu usaha untuk memastikan petani dan peladang tidak menggunakan orang tengah untuk menjual hasil pertanian mereka sekali gus mendapat hasil sehingga 50 peratus dari harga jualan.

Mansor berkata antara objektif utama Fama mewujudkan program ladang kontrak itu supaya pada masa hadapan, petani dan peladang akan memasarkan terus hasil pertanian mereka melalui pasar tani dan meraih pendapatan yang lebih baik.

Beliau berkata, sebagai contoh, jika timun dijual kepada pengguna dengan harga RM3 sekg, petani boleh menjual RM1.50 kepada penjual di pasar tani di mana mereka mendapat keuntungan yang lebih seimbang dari menggunakan khidmat peraih atau orang tengah.

Beliau berkata antara tanaman dalam ladang kontrak termasuklah "rock melon", nenas, tebu, timun, bendi dan kacang panjang.

Terdapat 2,300 peserta pasar tani di Selangor membabitkan 50 lokasi pasar tani di negeri itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain