suria

Kerajaan Sarawak Ambil Tindakan Isu Jalan Dalam Laporan Ketua Audit Negara

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan mengambil tindakan berhubung isu-isu menaik taraf beberapa batang jalan yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2011, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan bermesyuarat bagi membincangkan laporan itu.

"Saya akan mengadakan mesyuarat minggu ini dan meneliti butirannya kerana laporan itu menyentuh beberapa perkara seperti kelewatan menaik taraf jalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen perkongsian keselamatan jalan raya 2012 di sini, Isnin.

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan 175 projek di Sarawak, sebagai kurang memuaskan berikutan kelewatan dan kualiti yang lemah. Sementara itu, mengulas mengenai jambatan Batang Strap bernilai RM20.43 juta di Sri Aman yang dibangkitkan dalam laporan itu, Manyin berkata kementeriannya akan menyelesaikan masalah itu.

"Jambatan itu sepatutnya menghubungkan Pekan Pantu dengan kawasan lain di seberang sungai itu, tetapi akhirnya, jalan kerikil di seberang sungai itu melewatkan kerja kami.

"Jadi, kami perlu menaik taraf jalan kerikil itu sebelum meneruskan kerja," katanya.

Menurut laporan ketua audit negara, JKR Sarawak mencadangkan pembinaan jambatan RM20.43 juta itu dengan melupakan jalan hubungan ke perkampungan berdekatan. -BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain