suria

Imigresen Tahan 33 PATI

GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 33 pendatang tanpa izin dalam serbuan di beberapa kawasan tapak pembinaan di Bayan Lepas di sini tengah malam Rabu.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (I) Negeri, Abdul Rahman Hassan berkata mereka yang ditahan dalam operasi bermula pukul 12 malam itu adalah warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Thailand.

Beliau berkata seramai 105 orang rakyat asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 33 orang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Operasi yang membabitkan lebih 30 anggota itu dijalankan selaras dengan program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang berakhir baru-baru ini," katanya kepada pemberita di tempat operasi.

Abdul Rahman berkata kesemua warga asing berumur lingkungan 18 dan 50 tahun itu dibawa ke Depo Tahanan Imigresen di Juru untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain