suria

Penuntut UPM Diingakan Tidak Terpengaruh Tuntutan Kebebasan Bersuara - Sultan Selangor

SERDANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya mementingkan ideologi politik.

Baginda yang juga Canselor UPM turut berharap agar mahasiswa tidak terjebak dengan budaya negatif seperti politik kepartian dalam kampus dan tidak terlalu taksub dalam mengikuti perkembangan politik semasa.

"Beta berharap ilmu yang dipelajari dijadikan panduan dan pedoman untuk berjaya dengan cemerlang tanpa mengorbankan nilai-nilai yang menjadi teras masyarakat di negara ini," titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM ke-36 di sini, Sabtu.

Baginda turut mengingatkan mahasiswa mengenai objektif utama memasuki institusi pengajian tinggi adalah untuk memartabatkan ilmu pengetahuan dan menjadikan mereka lebih matang dalam menangani apa jua masalah.

"Justeru para graduan perlu sentiasa mencintai dan menjaga nama baik UPM di mana sahaja mereka berada walaupun selepas tamat pengajian," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah mahasiswa dan juga alumni UPM perlu mempunyai jiwa dan semangat patriotik yang tinggi kepada negara dan tidak sewenang-wenangnya mempermainkan kedaulatan negara mahupun melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej negara.

Baginda juga mengingatkan mahasiswa supaya tidak terlibat dalam gejala negatif seperti rasuah, tidak amanah dan menyalahgunakan kuasa yang secara tidak langsung boleh menjatuhkan imej universiti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain