suria

Pro-A Dan Pro-M Tidak Wujud Dalam Pilihan Raya Kampus UIA

GOMBAK: Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) pada Rabu menegaskan tidak wujud kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) atau Pro Aspirasi (Pro-A) dalam pilihan raya kampusnya yang diadakan Selasa.

Pengerusi Pilihan Raya Kampus UIAM Datuk Dr Mizan Hitam berkata, ketiadaan kumpulan berkenaan menunjukkan tidak wujud unsur politik dalam pilihan raya kampus UIAM dan keputusan undian yang diumumkan tidak seharusnya dikaitkan dengan politik atau pengaruh luar.

"31 kerusi yang dipertandingkan adalah bersifat neutral dan bebas. Tidak ada dakwaan atau deklarasi daripada mana-mana calon sekali pun sama ada mereka itu calon Pro-A atau Pro-M.

"Di UIA sangat unik dan neutral yang mana pelajar mempunyai semangat ilmiah. Dalam AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) kata pelajar boleh berpolitik tapi dalam kampus mereka bersifat neutral dan bebas," katanya pada sidang media yang diadakan dekat sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pilihan raya UIAM dikuasai sepenuhnya oleh calon Pro-M dengan kemenangan 26 kerusi daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya sangat jelas berhubung perkara ini dan menganggap dakwaan seperti itu sebagai permainan dan gangguan daripada pihak luar.

Katanya, UIAM juga telah menghantar surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi memberi penjelasan berhubung perkara ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa mana-mana calon bertanding atau pelajar untuk tampil memberi penjelasan sekiranya benar wujud kumpulan tersebut di dalam kampus.

"Kenyataan (dakwaan) itu tidak benar. Kenyataan rasmi daripada pihak universiti dan pihak yang bertanding sangat jelas.

"Jika kenyataan itu benar pelajar perlu datang tunjuk kepada kami mana satu senarai Pro-M.

"Kalau ada calon yang berani tampil bahawa ini senarai calon Pro-M kita akan bincangkan benar atau tidak kenyataan ini," beliau memberi penjelasan.

Mengulas mengenai kemerosotan peratusan mahasiswa keluar mengundi pada pilihan raya kali ini, beliau yang juga timbalan rektor (perhubungan pelajar) berkata secara keseluruhan angka itu masih menunjukkan peratusan yang tinggi.

Katanya, suasana tenang dan proses pengundian yang lancar menunjukkan pelajar di universiti itu boleh menerima pengundian kali kedua dengan hati terbuka tanpa menimbulkan masalah.

"Dulu (kali pertama) sebanyak 75 peratus keluar mengundi, semalam 68 peratus...hanya kurang tujuh peratus sahaja.

"Mereka sangat berpuas hati dengan kehadiran mantan Majlis Perwakilan Pelajar dan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang datang sebagai pemerhati segenap proses dan prosedur," katanya.

Beliau menambah, walaupun pilihan raya yang diadakan kali kedua ini dijalankan secara manual, pihak universiti masih belum membuat keputusan sama ada meneruskan proses pengundian yang sama atau menggunakan sistem e-voting pada tahun hadapan.

Dalam pilihan raya kampus UIAM, Selasa, seramai 10,700 pelajar keluar membuang undi.

Tiga kerusi dimenangi calon tanpa bertanding iaitu satu kerusi di Kuliah Perubatan dan satu lagi kerusi di kampus Kuantan.

Pilihan raya kampus UIAM dijalankan buat kali kedua kerana mengalami masalah teknikal dalam sistem e-voting yang diadakan pada 25 September lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain