suria

Shahidan Ikrar Bersama Md Isa Pastikan Kemenangan BN Di Perlis

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menepis dakwaan pembangkang bahawa Umno Perlis dalam keadaan tidak menentu dan akan memudahkan usaha mereka menawan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Shahidan berkata beliau akan memantapkan kerjasama dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bagi memastikan BN terus berkuasa di Perlis selepas pilihan raya umum ke-13.

"Mereka perlu ingat bahawa saya adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan saya masih ada pengaruh untuk bersama Menteri Besar bagi mengekalkan kekuatan parti," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Katanya Umno Perlis juga berharap tidak ada campur tangan luar dalam percaturan calon pada pilihan raya umum kali ini.

Mengenai dakwaan pembangkang mereka mungkin menguasai kawasan yang mempunyai banyak pengundi bukan Melayu, Shahidan berkata Umno Perlis sedang mengatur program bagi menjelaskan isu terkini kepada kaum bukan Melayu, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan dan Titi Tinggi. BERNAMA

Artikel Lain