suria

Lynas Tertakluk Kepada Beberapa Syarat TOL - AELB

KUALA LUMPUR: Lesen Operasi Sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) kepada Lynas (Malaysia) Sdn Bhd adalah tertakluk kepada beberapa syarat, kata Ketua Pengarah AELB, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan.

Beliau berkata semua keperluan dan syarat yang dikenakan terhadap Lynas menerusi proses meluluskan TOL masih berkuatkuasa termasuk dua syarat tambahan yang dikenakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengikut seksyen kecil 32 (5) Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

"Selepas itu, Lynas mengemukakan dua surat akujanji...pertama, komitmen Lynas Australia untuk membawa residu keluar dari Malaysia dan kedua oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd mengesahkan perkara sama," katanya dalam kenyataan hari ini bagi memperjelaskan beberapa kekeliruan mengenai pembuangan residu daripada negara ini seperti yang dilaporkan.

Raja Abdul Aziz berkata komitmen tersebut yang juga diumumkan oleh Lynas dalam pelbagai kenyataan media/sesi mereka terutamanya pada 27, 29 dan 30 Ogos lalu yang telah dilaporkan secara meluas dalam media di Australia dan Malaysia. Menurutnya isu pulangan residu jelas dinyatakan dalam mesyuarat Lembaga AELB pada 30 Januari lepas.

Beliau berkata pengurusan dan pembuangan residu adalah sebahagian daripada perjanjian dan syarat TOL dan kekal didokumentasikan dalam dokumen lesen yang dikeluarkan kepada Lynas pada Rabu lalu.

"Isu pembuangan residu yang tidak terikat untuk Lynas tidak timbul. Ia adalah sah di sisi undang-undang dan AELB akan menguatkuasakannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain