suria

Penunggang Motosikal Maut Selepas Rempuh Lori

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sebuah lori di Km30 Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera, pada Rabu.

Mangsa, Chan Soon Guan, 21, dari Kampung Menteri, Triang mati ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas) Temerloh.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 2.15 petang itu pemuda terbabit dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Temerloh.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai sebuah lori tanpa muatan yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk simpang ke sebuah stesen minyak.

"Mangsa yang gagal membrek motosikalnya melanggar bahagian tengah lori berkenaan menyebabkan dia tercampak ke atas jalan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Ekoran itu mangsa mengalami kecederaan parah di dada dan dihantar ke HoShas untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia sejurus kemudian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain