suria

Peniaga Diserang Gara-Gara Mahu Lapor Polis Selepas Kemalangan

GEORGE TOWN: Seorang peniaga dibelasah oleh sekumpulan lelaki kerana ingin membuat laporan polis selepas keretanya dilanggar oleh seorang pemandu di Jalan Tanjung Tokong, di sini Ahad.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Khor Jin Leng, 39, berkata beliau ingin membuat laporan polis sejurus keretanya dilanggar oleh sebuah kereta dari belakang di persimpangan lampu isyarat di situ.

Bagaimanapun, katanya pemandu kereta berkenaan tidak puas hati dengan tindakannya dan terus mengetuk cermin keretanya dengan tangan sebelum beredar.

Ketika meneruskan perjalanan, Khor berkata, keretanya tiba-tiba dikejar dan ditahan oleh kira-kira 10 lelaki bermotosikal di depan hotel Tanjung Bungah.

Khor diserang dan dipukul oleh kumpulan lelaki berkenaan dengan topi keledar dan keretanya dirosakkan dan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

Sejurus selepas itu, lelaki yang melanggar kereta Khor sebelum ini, datang dan terus menghentak cermin depan keretannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kes berkenaan dan seorang pemandu ambulans berusia 33 tahun telah ditahan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menggunakan senjata berbahaya dan melakukan kerosakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain