suria

JPJ Tumpu Operasi Terhadap Motosikal

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan saman terhadap 73 kereta dan 37 motosikal kerana pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu motosikal di plaza tol Senawang di sini, malam Rabu.

Pengarahnya Saiful Azzri Hamzah berkata dalam operasi tersebut dua kereta dan enam motosikal turut disita kerana didapati cukai jalan tamat tempoh.

"Antara kesalahan yang banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal yang lain. Malah ada juga pengguna yang didapati melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan dan sebagainya.

"Anggota AADK turut menahan dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal kerana didapati positif dadah setelah ujian air kencing dijalankan terhadap mereka," katanya di sini Khamis.

Operasi tiga jam bermula 9 malam itu disertai 50 anggota termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya operasi malam tadi diberikan tumpuan khusus kepada penunggang motosikal yang merupakan penyumbang tertinggi dalam kemalangan di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain