suria

Kematian Punch Gunalan Beri Impak Kepada Negara - PM

MEKAH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kematian bekas jaguh badminton negara Datuk Punch Gunalan memberi impak sama seperti kehilangan seorang tokoh negara.

Beliau berkata sumbangan mendiang sangat besar dalam pembangunan sukan badminton dan beliau telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang disegani dalam sukan berkenaan. "Saya dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang", kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini, Rabu.

Perdana Menteri mengetuai delegasi negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Keempat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung selama dua hari mulai malam semalam.

Katanya, Gunalan juga telah melahirkan ramai pemain badminton pelapis dan beliau telah meletakkan negara sebagai kedua terbaik di dunia dalam sukan badminton. Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya kira-kira 6.20 pagi ini akibat barah. Mendiang meninggalkan seorang isteri, P.Vijeyakumari, 64, serta seorang anak lelaki Roshan Gunalan, 36.

Beliau adalah antara pemain badminton yang paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu dan pernah menjuarai kejohanan badminton All England, Sukan Komanwel pada 1971 dan tahun 1974.

Gunalan juga pernah dianugerah Olahragawan Negara pada 1969 dan 1974 sebelum bergiat aktif sebagai jurulatih kebangsaan dan berjaya membimbing skuad kebangsaan meraih kejayaan pada Kejohanan Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

Antara jawatan penting yang pernah disandang mendiang ialah Timbalan Presiden BAM pada 2005 dan Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada 2004 hingga 2008. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain