suria

Suami Isteri Didakwa Perdagang Manusia

TAIPING: Sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah restoran nasi kandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat terhadap lima pertuduhan memperdagangkan manusia pada April lepas.

Abdul Wahab Abdul Rahman, 34, dari Taman Sg Emas, Simpang dekat sini, didakwa memperdagangkan empat lelaki rakyat India dan seorang wanita warga Indonesia di Restoran Nasi Kandar Nur Amin, Jalan Taman Kami C, Aulong pada 5.05 petang 17 April lalu.

Tertuduh didakwa mengeksploitasi mangsa, Thankappan Sankar, Balachandar Chellakannu, Saravanan Raman, Muthu Pandian Jeyaraman dan Rika Karo Karo yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu sebagai buruh paksa.

Bagi kelima-lima pertuduhan, Abdul Wahab didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.

Sementara itu, isterinya Mazzuen Abdul Majid, 32, juga didakwa atas lima pertuduhan yang sama kerana bersubahat dengan suaminya.

Mazzuen didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muna Jaafar memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 terhadap setiap tertuduh kerana jumlah itu setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

"Jenayah ini (memperdagangkan manusia) mempunyai liputan meluas dan kesalahan yang mereka (tertuduh) lakukan bukan hanya melibatkan seorang malah lima mangsa. Tertuduh telah mengeksploitasi mangsa sebagai buruh paksa untuk mendapatkan imbuhan hasil titik peluh mangsa," katanya.

Peguam yang mewakil kedua-dua tertuduh, P. Ravee bagaimanapun memohon agar mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan kerana pasangan itu mempunyai dua orang anak yang masih dalam tanggungan.

Hakim Azuar Che Yusof kemudian membenarkan Abdul Wahab diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya RM40,000 dengan seorang penjamin.

Azuar menetapkan empat hari mulai 5 Sept ini untuk perbicaraan kes tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain