suria

Wanita Thailand Antara Lapan Ditahan Miliki Dadah

BESUT: Lapan orang termasuk dua wanita yang salah seorangnya wanita Thai ditahan kerana memiliki pil dadah jenis Methamphetamine dan 10 biji pil Erimin 5 dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Besut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Noor Zainy Mohd Noor berkata dalam serbuan di sebuah rumah di kampung Tok Has dekat Jerteh di sini kira-kira pukul 1.50 pagi itu membawa kepada penahanan suspek berumur antara 15 hingga 23 tahun.

"Hasil aduan orang ramai, kita telah menyerbu rumah berkenaan sebelum menemui satu uncang kain berwarna merah yang mengandungi pil-pil dadah di dalam bilik rumah itu.

"Kesemua ditahan adalah penduduk tempatan kecuali seorang wanita berumur 22 tahun yang berasal dari Sungai Golok, Thailand," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Jelasnya ujian urin ke atas kesemua yang ditahan mendapati lima daripadanya didapati positif dadah dan mereka ditahan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama 15(1)(a) akta yang sama.

Namun tiga lagi didapati negatif dan diminta membantu siasatan bersama wanita Thailand itu namun warganegara asing itu dituduh melanggar Akta Imigresen 1959 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan seorang pekebun berusia 39 tahun di Kampung Jabi dan dua pelajar perempuan berumur 15 dan 16 tahun di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut kerana memiliki sejumlah mercun pelbagai jenis di dua tempat yang berasingan semalam dan dua hari lalu.

Noor Zainy berkata hasil maklumat diterima daripada orang ramai, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Jabi kira-kira pukul 7.20 pagi di mana telah menemui mercun disimpannya yang dianggarkan bernilai RM200.

"Sehari sebelumnya, polis telah menahan dua pelajar perempuan yang merupakan adik-beradik di rumahnya dan menjumpai mercun kepunyaan mereka dianggarkan bernilai RM150," katanya.

Ketiga-tiga suspek akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda 7 tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Noor Zainy percaya ketiga-tiga suspek bercadang untuk menjual mercun berkenaan kepada kanak-kanak di tempat mereka. -BERNAMA

Artikel Lain