suria

Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas 1.2 Gram Heroin

ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 1,213.55 gram dadah jenis heroin bernilai RM27,000 hingga RM45,000 dalam serbuan di sebuah bilik motel di Kompleks Perniagaan Sultan Abdul Hamid di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata suspek berusia 19 hingga 35 tahun itu ditahan ketika sedang leka membungkus dadah dipercayai untuk diedarkan di sekitar Kuala Kedah dan bandaraya ini di dalam bilik motel berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.

"Polis menemui 386 peket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi bahan disyaki heroin, empat plastik lutsinar besar di mana setiap satu bungkusan dalamnya berisi 50 peket pelbagai saiz bahan disyaki heroin. "Antara barang lain yang dirampas ialah wang tunai RM2,000, sebuah kereta Proton Satria, empat telefon bimbit, satu alat sealer dan penimbang elektronik," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Katanya, suspek yang berusia 35 tahun mempunyai 11 rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah, dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak empat bulan lalu.

Adzaman berkata ujian air kencing juga mendapati semua suspek yang berasal dari Alor Setar yang tidak mempunyai pekerjaan itu positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semua suspek direman hingga 12 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah bengkel motosikal haram di Kampung Kuala Sungai, Alor Jangus dekat sini kira-kira 12.30 tengah hari.

"Polis merampas tujuh chasis (rangka), tujuh enjin, 10 nombor plat dan menahan dua suspek berusia 20-an. Salah seorang suspek merupakan pemilik bengkel haram yang dibuat di belakang sebuah rumah kampung.

"Kes membabitkan kecurian motosikal sangat banyak, jadi kita akan terus berusaha membanteras kegiatan ini dengan memantau bengkel-bengkel haram yang selalunya dibuat di kawasan pedalaman," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain