suria

Pembangkang Mahu Kaji AP Tampung Pemansuhan Duti Eksais

PETALING JAYA: Pembangkang memberi jaminan untuk mengkaji semula sistem Permit Import (AP) ke atas kenderaan dalam usaha merombak struktur cukai yang dikenakan ke atas kereta sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata, kajian semula mengenai pengurusan AP adalah salah satu mekanisme bagi membolehkan cukai eksais dihapuskan bagi menurunkan harga kereta.

"Kita akan kaji bagaimana kita uruskan AP. Kalau AP diuruskan dengan baik ia akan menjadi sumber kewangan yang boleh mengimbangi kadar pendapatan yang hilang akibat pemansuhan duti eksais.

"Ini adalah perubahan utama yang akan kita lakukan, kita akan tukar kaedah pengurusan AP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Sehubungan dengan itu Mohd Rafizi berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membentangkan mekanisme rombakan struktur cukai yang bakal membolehkan kerajaan menjana pendapatan baru selepas penghapusan cukai eksais.

Ditanya sama ada pembangkang akan memperkenalkan sistem cukai baru bagi menampung sebahagian pendapatan kerajaan selepas duti eksais dihapuskan, Mohd Rafizi menolak langkah berkenaan.

"Kita masih yakin tanpa memperkenalkan cukai baru, perkara ini boleh dilakukan. Setakat ini perbincangan di peringkat pakatan, semuanya tidak menyentuh mengenai pengenalan cukai baru.

"Kami yakin dengan mengawal perbelanjaan, kita mampu menampung beberapa langkah yang diperkenalkan," katanya.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai cadangan rombakan struktur cukai termasuk pemansuhan cukai eksais, Mohd Rafizi berkata langkah itu tidak akan menjejaskan pengeluar kereta nasional negara seperti Proton dan Perodua.

"Harga kereta Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model, berbanding kereta-kereta lain (seperti Honda, Toyota dan lain-lain) yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara purata," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain