suria

Polis Tahan Suspek Kes Ragut Di George Town

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyebabkan kematian seorang wanita dalam kejadian ragut di tempat parkir Flat Padang Tembak pada 10 Julai lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu, ditahan di kawasan perumahan Padang Tembak, petang Isnin.

"Lelaki terbabit dilihat berlegar-legar di sekitar flat yang sama dengan menaiki motosikal sebelum ditahan polis yang meronda di kawasan itu kerana berkelakuan mencurigakan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Dalam kejadian awal pagi dua minggu lepas itu, mangsa Tan Kim Chuan, 60, diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika hendak keluar ke tempat kerja.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kepala Tan terhentak pada jalan tar dan tubuhnya terseret beberapa meter sebelum ditemui terbaring di tepi jalan oleh orang awam.

Mangsa meninggal dunia selepas menjalani pembedahan akibat darah beku di bahagian otak pada hari yang sama.

Mohd Nasir berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan merompak dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata lelaki terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain