suria

Pemimpin Muda Perlu Belajar Pelihara Kestabilan Politik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin muda menghargai pengalaman Malaysia memelihara ketenteraman politik dalam usaha meningkatkan tadbir urus yang demokratik.

"Ini merupakan pengajaran utama yang boleh kita peroleh daripada metamorfosis Malaysia.

"Pengalaman kita selama 55 tahun dalam mengekalkan kestabilan politik, keharmonian kaum dan kemajuan ekonomi adalah penuh dengan ilmu dan hikmah yang akan memberi petunjuk kepada kita untuk mengemudi negara ke arah keamanan dan kemakmuran berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk 'Metamorfosis Malaysia' pada majlis penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Keenam di sini Ahad.

Muhyiddin berkata, ini merupakan proses evolusi ekonomi, politik dan sosial yang menjadikan Malaysia lebih menonjol di kalangan negara membangun.

Muhyiddin berkata, Malaysia menikmati pembangunan ekonomi yang pesat tanpa mengorbankan institusi demokratik dan perlembagaan.

"Kami membenarkan politik yang kompetitif untuk berakar umbi dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama tanpa mengorbankan kestabilan politik.

"Apa yang paling penting ialah kita terus menikmati keharmonian kaum dan perpaduan sosial dan pada masa sama, menerajui kerajaan dan masyarakat ke arah yang lebih demokratik," katanya.

Bagi mencapai tadbir urus yang demokratik, beliau berkata negara memerlukan tenaga kerja berbakat serta berpengetahuan tinggi untuk menggerakkan negara ke hadapan dalam ekonomi yang dipacu pengetahuan dan inovasi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan perlu terus memperbaiki kualiti pendidikan dan usaha bersepadu yang kini dilakukan menerusi satu proses kajian menyeluruh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain