suria

Momentum Pembangunan Akan Terjejas Jika Pembangkang Tadbir Negara - Muhyiddin

KLUANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu berkata momentum pembangunan negara yang dilaksanakan kerajaan lebih 50 tahun lepas akan terjejas sekiranya pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat sempena persidangan perwakilan Umno Bahagian Sembrong, di Felda Ulu Belitong, di sini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata segala kemajuan yang dibina selama ini akan musnah kerana pembangkang akan mengubah perancangan yang telah dilakukan.

"Pembangkang hanya mahukan kuasa dan kepentingan politik semata-mata. Kita tidak boleh korbankan pembangunan yang telah dicapai.

"Mereka kini menjanjikan bulan dan bintang tetapi sekiranya mereka sudah berkuasa mereka akan membawa angkara dan mengubah segala-galanya. Mereka janji macam-macam tetapi 'jauh panggang dari api'," katanya.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Timbalan perdana menteri dalam pada itu mengingatkan rakyat dan pemimpin di negeri ini supaya mempertingkatkan iltizam dan semangat juang bagi mengekalkan status Johor sebagai negeri 'biru'.

Beliau berkata walaupun Johor masih dianggap kubu kuat Umno dan Barisan Nasional, situasi yang perlu dihadapi rakyat pada masa ini lebih mencabar.

"Johor ada sejarah yang panjang. Jadi, kita hendak kekalkan negeri ini sebagai negeri 'biru'. Macam-macam 'wajah' ada di depan kita. Situasi hari ini tidak sama seperti dahulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain