suria

Kerajaan Tubuhkan MyCreative Ventures

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, dengan dana permulaan berjumlah RM200 juta, sebagai pemangkin industri kreatif negara agar lebih berdaya saing.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata penubuhan syarikat itu bertujuan menyokong industri kreatif agar dapat menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Di negara ini, terdapat ramai generasi muda yang berpotensi untuk diperkembangkan idea-idea kreatif mereka, dan diterjemah melalui penghasilan produk atau perkhidmatan untuk dikomersilkan sehingga ke peringkat global.

"Kerajaan sedar kebanyakan idea tersebut tidak dapat dikembangkan kerana wujudnya kekangan seperti aspek kewangan," katanya. Perlantikan ahli lembaga pengarah MyCV telah dibuat pada 11 Julai yang lalu, di mana Datuk Seri Farid Ridzuan dilantik menjadi pengerusi dan Johan Mohamed Ishak sebagai ketua pegawai eksekutif.

Ahli syarikat tersebut pula terdiri daripada Tan Sri Dr Lim Kok Wing, Maliami Hamad, Prof Madya Abdul Razak Mohaideen, Datuk Mohd Mahyidin Mohd Mustakim, Tony Savarimuthu dan Zubir Ansori Yahaya.

Inisiatif kerajaan mewujudkan pembia yaan khusus untuk industri kreatif adalah bagi mengisi jurang yang wujud dalam pembiayaan yang sedia ada.

"Penubuhan MyCV boleh dilihat sebagai perintis dalam merealisasikan hasrat Kerajaan dalam membangunkan industri kreatif yang berpotensi tinggi," katanya. Beliau berkata persepsi masyarakat juga akan dapat digarap secara positif agar lebih terbuka terhadap idea-idea tempatan. "Akhir sekali, usaha ini akan lebih bermakna dengan adanya sokongan padu, termasuk pihak swasta yang mungkin boleh mengambil langkah serupa dan menyokong pembangunan idea-idea kreatif tempatan.

"Dengan adanya inisiatif ini, adalah diharapkan agar Malaysia dapat menempa nama dan kejayaan yang bermula dari titik permulaan hanya dengan idea kreatif," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain