suria

Sidang DUN Masa Terbaik MB Jelas Isu Talam - Speaker

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar menggunakan sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini sebagai platform bagi memberi penjelasan mengenai dakwaan skandal penyelewengan penstrukturan hutang antara Talam Corporation dan kerajaan negeri.

Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, Abdul Khalid boleh mengambil peluang membuat penjelasan mengenai dakwaan itu pada sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 lewat petang Isnin.

"Saya percaya apabila beliau (Abdul Khalid) gulung, itu adalah masa terbaik. Saya juga percaya isu ini akan dibangkitkan oleh ahli dewan ketika perbahasan.

"Pastinya sesuatu yang mengejutkan nanti jika tak ada siapa bangkitkan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Sebelum ini Abdul Khalid dilaporkan berkata, tidak akan menjwab dakwaan skandal Talam pada persidangan DUN yang bermula Isnin sehingga MCA menjelaskan dakwaan mengenai transaksi berjumlah RM1 bilion tersebut.

Abdul Khalid juga sebelum ini dilaporkan memberi jaminan akan mendedahkan Kertas Putih berhubung penstrukturan semula hutang Talam pada perbentangan Bajet 2013.

Sementara itu ditanya sama ada Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan menyiasat mengenai dakwaan berkenaan, Teng berkata, hingga kini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan melakukan siasatan sekiranya penjelasan Abdul Khalid mengenai isu itu tidak memuaskan.

"Menteri Besar kata nak jawab ketika persidangan DUN. Jadi kita tunggu penjelasannya. Jika ahli berpuas hati dengan penjelasan, tak perlu siasatan.

"Tapi kalau ahli Selcat tak puas hati, pastinya kita akan panggil untuk pendengaran awam. Saya percaya akan ada penjelasan. Di selangor kita tak akan sembunyikan isu," katanya.

Minggu lalu Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong membuat kenyataan mendakwa penstrukturan hutang Talam Corporation dan kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

Artikel Lain