suria

Polis Tahan Tauke Nasi Kandar Kerana Miliki Pistol

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang peniaga nasi kandar dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver 384mm beserta dua butir peluru di Jalan Van Praagh di sini, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata hasil maklumat awam, pemilik restoran nasi kandar berumur 44 tahun itu ditahan dalam restorannya pada pukul 11.33 malam.

Katanya, setelah disiasat, polis menjumpai pistol buatan Brazil yang disembunyikan dalam but belakang kereta milik peniaga nasi kandar itu.

"Siasatan masih dijalankan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan penjenayah di negeri ini namun siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata lelaki terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali kerana memiliki dua butir peluru.

Gan berkata, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang jika bersabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, kerana memiliki pistol.

Pada perkembangan lain, beliau meminta individu yang pernah membeli ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) palsu tampil memberi keterangan di balai polis bagi membantu siasatan.

Katanya setakat ini tiada laporan diterima daripada mangsa yang pernah menjadi pelanggan sindiket terbabit.

"Jika mereka enggan memberi keterangan, polis berhak memanggil mereka menghadiri siasatan di balai polis mengikut notis serahan, Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah dan jika individu terbabit tidak mematuhi notis itu, kita boleh mengeluarkan waran tangkap kepada mereka," katanya.

Gan berkata kegiatan penjualan sijil palsu terbabit telah menipu lebih 20 orang sejak beroperasi tiga bulan lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain