suria

Curi Telefon Rakan: Pengawal Keselamatan Dipenjara Dua Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri telefon bimbit milik rakan sekerjanya, Khamis lepas.

Majistret Suzarika Sahak turut memerintahkan Abdil Min Abdul Jalil, 28, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lepas.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa mencuri telefon bimbit bernilai RM500 milik R. Tana Balan, 27, di pondok pengawal keselamatan, Desa Andaman, Seksyen 1, Wangsa Maju di sini pada 11.50 malam, 28 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa meletakkan telefon bimbitnya di atas meja di pondok pengawal keselamatan ketika keluar untuk menemui pelawat, tetapi apabila kembali ke meja, dia mendapati telefon bimbitnya sudah tiada.

Mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup pada 1 pagi, 29 Jun dan rakaman menunjukkan suspek mengambil telefon bimbit itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain