suria

PM Umum Dana Strategik Pelaburan Domestik RM1 Bilion Untuk Industri Sasaran

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan pembentukan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion.

Dana itu bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat milik Malaysia dalam rangkaian bekalan global, dalam industri sasaran iaitu bernilai tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.

Beliau berkata, dana itu akan diurus oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan akan diluluskan pada asas rundingan, berdasarkan permintaan syarikat dan merit setiap kes, dengan objektif untuk meningkatkan keupayaan teknologi pelabur domestik.

Katanya, dana itu bermatlamat meningkatkan dan memanfaatkan peluang-peluang penyumberan luar yang diwujudkan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia, meningkatkan penguasaan teknologi oleh syarikat milik Malaysia dan membolehkan syarikat brekenaan memperoleh standard/pensijilan antarabangsa dalam industri strategik.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan memperkenal semula insentif cukai untuk mengambil alih syarikat asing berteknologi tinggi bagi membolehkan syarikat milik Malaysia memperoleh teknologi canggih menerusi pendekatan lonjakan bagi meningkatkan rangkaian nilai atau mempelbagai ke dalam bidang baru.

"Inisiatif ini akan memudahkan aktiviti inovasi dalam kalangan syarikat milik Malaysia," kata Najib pada perasmian ibu pejabat korporat dan logo baru Mida.

Najib berkata, syarikat pembuatan milik Malaysia yang sudah beroperasi selama setahun atau kurang dan menjalankan promosi produk atau aktiviti menerusi Akta Promosi Pelaburan 1986,, layak memohon insentif cukai itu.

Kerajaan juga meningkatkan insentif cukai untuk syarikat kecil milik Malaysia supaya memohon insentif cukai menerusi akta berkenaan dengan meningkatkan dana pemegangan daripada RM500,000 kepada kurang daripada RM2.5 juta.

"Kadar khas cukai itu untuk menggalakkan penyedia kecil perkhidmatan Malaysia supaya bergabung menjadi entiti yang lebih besar, dan usaha juga sedang dilakukan bagi meningkatkan daya saing entiti kecil selari dengan usaha kerajaan untuk meliberalisasikan lagi sektor perkhidmatan.

"Inisiatif ini berkuat kuasa serta-merta, bersempena wajah baru korporat Mida dan arah tuju strategiknya," kata Najib.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu yang berkuat kuasa pada Selasa bertujuan menjadikan pelaburan langsung domestik menyumbang sebanyak 73 peratus pelaburan dalam ekonomi menjelang 2020, dengan 27 peratus lagi disumber menerusi pelaburan langsung asing.- BERNAMA

Artikel Lain