suria

Negara Tidak Boleh Selamanya Bergantung Kepada Subsidi Bahan Api - PM

PUTRAJAYA: Negara tidak boleh bergantung kepada penggunaan bahan api yang didorong oleh subsidi kerajaan untuk memangkin ekonomi dalam jangka masa panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengakui bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai harga minyak terendah di Asia Tenggara, kecuali Brunei Darussalam - tetapi menegaskan bahawa negara ini perlu menyusun semula hasil berasaskan minyak ke arah pembangunan ekonomi.

"Kalau kita gunakan semua kekayaan kita untuk memberi subsidi pada minyak, ini menambahkan 'consumption'(penggunaan tenaga). Kalau kita tambahkan ‘consumption’ kita tidak membina aset produktif untuk masa depan negara kita. Dan satu hari nanti minyak pasti akan pupus, minyak akan berkurangan, jumlah minyak pengeluaran akan berkurangan dan pada masa itu kita akan menghadapi satu keadaan yang cukup berat.

"Dan sebab itulah kita mesti gunakan sumber minyak kita dengan bukan saja kepentingan jangka pendek tetapi juga kepentingan jangka panjang negara kita," katanya sebagai respons kepada soalan yang ditimbulkan kepadanya di laman blog beliau di www.1malaysia.com.my .

Najib menegaskan walaupun sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia telah dianggap sebagai pengeksport bersih marginal memandangkan penggunaan domestik adalah hampir sama dengan minyak yang dieksport.

Beliau menambah, kualiti minyak Malaysia adalah lebih sesuai untuk pasaran antarabangsa, manakala keperluan bagi produk petroleum yang digunakan di dalam negara telah cukup dipenuhi oleh minyak yang diimport dari Timur Tengah.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM2 bilion dalam bentuk subsidi setiap bulan untuk produk petroleum di negara ini, termasuk cecair gas petroleum (LPG) dan diesel.

"Kalau kita lihat sebagai contoh satu liter RON95 ada jumlah subsidi sebanyak RM0.82 sen satu liter. Maknanya kalau kita bayar RM1.90 satu liter kita sepatutnya bayar RM1.90 campur RM0.82 sen tambahan. Dan kalau kita kira satu tangki penuh maknanya lebih kurang 25 liter kita akan jimat perbelanjaan antara RM25 hingga RM30 sekali kita isi tangki kereta kita sepenuhnya.

"Ini adalah merupakan penjimatan sebenarnya yang kadangkala kita tak sedari," katanya.

Artikel Lain