suria

Malaysia, Singapura Akan Tubuh JWC Peringkat Tinggi Untuk Perangi Dadah

SINGAPURA: Satu Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC) peringat kementerian akan ditubuhkan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Dadah antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata JWC itu akan merangka hala tuju bagi usaha bersama antara agensi-agensi berkaitan operasi di kedua-dua negara untuk memerangi gejala dadah.

"Kami membentuk sesuatu yang telah wujud, sebagai contoh pasukan polis, unit risikan, unit dadah. Hubungan yang erat antara kementerian dalam soal keselamatan telah wujud sebelum ini tetapi di sini untuk kali pertama, kami menggabungkan pelbagai agensi kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas majlis menandatangani MoU itu antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Singapura Teo Chee Hean dan Hishammudin bagi pihak kedua-dua negara di Kementerian Dalam Negeri Singapura di sini, Selasa.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan.

Terdahulu Teo ketika menjawab pertanyaan media Malaysia, berkata JWC itu akan diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Singapura dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

"Buat permulaan kami bersetuju bahawa kami harus memberi tumpuan kepada kegiatan membabitkan dadah, dan dari situ kami boleh lihat bidang lain yang kami ingin terokai untuk kerjasama antara kedua negara," kata Teo.

Ditanya mengenai tempoh masa untuk menubuhkan JWC itu, Hishammuddin berkata beliau berharap ia dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Hishammuddin berkata perjanjian MoU hari ini boleh dijadikan contoh kepada negara lain untuk mewujudkan kerjasama seumpama itu, terutama dalam memerangi jenayah rentas sempadan.

"Hari ini ia dalam soal berhubung dadah, pada masa depan jika semua berjalan dengan baik ia mungkin diperluas kepada penyeludupan senjata, pemerdagangan orang, membocor maklumat sensitif melalui internet yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan jenayah-jenayah rentas sempadan lain yang mungkin tidak terfikir oleh mana-mana pihak sebelum ini.

"Jadi saya fikir ia adalah satu perjanjian bersejarah dan ia juga berdasarkan kesedaran bahawa dunia ini kecil dan globalisasi memerlukan kita untuk bekerjasama dengan lebih erat dan merentasi agensi dan kementerian untuk menangani jenayah transnasional.

"Saya ingin melihat ini (MoU) diterjemah sebagai mengenai hubungan antara Singapura dan Malaysia, saya ingin melihat hubungan ini diterjemah di peringkat Asean dan mungkin saya akan ingin melihat ia diterjemah kepada Asean+3 (Jepun, China dan Korea)," katanya.

Hishammuddin berkata jika ia digunapakai di semua peringkat interaksi, ia akan lebih bermakna dan penting dalam menangani jenayah global, termasuk keganasan.

Di KUALA LUMPUR, Hishammuddin dalam kenyataan di sini berkata jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan setiap dua tahun bagi memastikan kemajuan dan pelaksanaan program serta aktiviti kedua-dua pihak berjalan lancar.

Beliau berkata bagi pihak Malaysia, jawatankuasa itu akan dianggotai antaranya Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

"MoU ini adalah inisiatif yang diambil Kementerian Dalam Negeri untuk menjalin hubungan strategik dengan rakan kongsi asing secara kolektif bagi menangani ancaman jenayah merentas sempadan termasuk penyeludupan dadah," katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia dan Biro Pusat Narkotik Singapura adalah agensi penguatkuasa utama untuk MoU itu.

"Bidang utama kerjasama di bawah MoU itu akan memberi tumpuan mengenai pertukaran maklumat dan corak serta teknik yang diguna dalam penyeludupan dadah, serta menyelaras aktiviti untuk tujuan pencegahan dalam penyeludupan dadah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain