suria

Dua Dipenjara 15 Tahun, Disebat Kerana Rogol Gadis Bawah Umur

KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah merogol dua gadis bawah umur dengan mengumpan kad tambah nilai telefon bimbit atau wang sebagai upah untuk melakukan seks.

Hakim, Rosziayanati Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36 yang menghadapi dua pertuduhan merogol gadis berumur 14 dan 13 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula Isnin.

Rosziayanati turut membenarkan permohonan peguam Datuk Dr Radzuan Ibrahim yang mewakili Aidil dan P. Selvaraj yang mewakili Lee untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menaikkan wang jaminan kedua-dua tertuduh daripada RM16,000 kepada RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Rosziayanati ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, Rosziayanati berkata, mahkamah menerima keterangan kedua-dua mangsa yang tidak bercanggah dan jelas serta menyakinkan mahkamah bahawa kedua-dua lelaki tersebut merogol mereka.

"Keterangan mangsa adalah konsisten dan dipercayai, tiada sebab untuk mahkamah tidak mempercayai mereka,"kata Rosziayanati.

Hakim itu berkata, dalam keterangan kedua-dua mangsa itu, mereka diberi imbuhan kad tambah nilai telefon bimbit atau wang untuk melakukan seks.

Aidil yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa merogol dua gadis bawah umur di sebuah bilik Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di antara 3 petang dan 3.30 petang, pada bulan April 2010 dan bulan Jun 2010.

Sementara Lee pula didakwa merogol kedua-dua gadis itu, di antara 9 malam hingga 9.30 malam pada Ogos 2009 dan Mei 2010.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dalina Ali. - BERNAMA

Artikel Lain