suria

Penyelia Syarikat Didakwa Dagang Tiga Wanita Indonesia Jadi Pelacur

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia dengan memaksa mereka bekerja sebagai pelacur.

Cheow Kian Feng @ Cheow Kian Koon, 43, dari Taman Daya Kepong didakwa memperdagangkan ketiga-tiga wanita itu bagi tujuan eksploitasi di No.5, Tingkat 11, Season Tower, Jalan Horley, Dang Wangi di sini antara 10.38 pagi dan 12 tengah hari 15 Mei lepas.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Cheow didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Bagaimanapun, peguam Wan A Fadzil Wan Omar memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan Cheow diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dan menetapkan 5 Julai untuk sebutan kes.

Rakan lelaki Cheow membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain