suria

Cubaan Rompak ATM Gagal, Loceng Penggera Berbunyi

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah berputih mata apabila usaha memecah mesin teler automatik (ATM) di sebuah pasar raya di sini malam tadi, terbantut setelah loceng penggera keselamatan bangunan itu berbunyi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata berdasarkan siasatan awal, kumpulan perompak terbabit dipercayai memecah masuk ke pasar raya di Pantai Dalam itu kira-kira pukul 11 malam.

"Suspek sebelum itu memecahkan pintu kayu pasar raya dari kawasan belakang ATM, sebelum cuba memecahkan ATM berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat di pusat membeli-belah Mid Valley, di sini. B eliau berkata polis juga percaya suspek berusaha selama beberapa jam untuk memecah ATM itu termasuk menggunakan alat kimpal berikutan ada kesan terbakar pada mesin terbabit, sebelum mengalah apabila loceng penggera berbunyi.

Katanya kejadian hanya disedari pukul 9 pagi tadi oleh pengurus pasar raya yang tiba untuk bertugas apabila mendengar bunyi loceng berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Abd Bari berkata siasatan turut mendapati kes hari ini menggunakan modus operandi yang sama dengan kejadian mesin ATM yang dilarikan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti Sabtu lepas, yang menyebabkan kerugian lebih RM320,000.

Polis sedang mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di pasar raya itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain