suria

Tunku Aziz Tidak Akan Sertai Mana-Mana Parti Selepas DAP

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik pada masa akan datang.

Tunku Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah berhasrat untuk menjadi ahli politik apabila menyertai parti DAP.

"Jika benar, saya sudah lama berbuat demikian sejak dahulu lagi. Saya tidak akan menyertai mana-mana parti politik selepas ini.

"Saya bukan seorang yang suka melompat dari satu parti ke satu parti lain. Perkara itu tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan menyertai mana-mana parti politik lain selepas pengumuman rasminya untuk keluar dari DAP pada 14 Mei lalu.

Tunku Abdul Aziz berkata, hasrat beliau adalah untuk menjadi seseorang yang bebas dan memberi komen mengenai isu-isu negara.

“Jika anda seorang yang ikhlas, letak jawatan (dan keluar parti) dengan pendirian sendiri, daripada melompat ke parti lain.

"Dan itulah amalan moral yang beretika. Lain-lain daripadanya bukan cara saya.

“Sebagai seseorang yang bebas, saya akan mempunyai kredibiliti. Apabila anda menyertai parti politik, tidak akan ada sesiapa yang mempercayai kata-kata anda lagi,” katanya.

Mengenai rancangan akan datang, Tunku Abdul Aziz berkata, beliau akan berusaha untuk membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik dan selamat.

“Saya mahu memastikan negara ini sesuai diduduki oleh semua rakyat Malaysia secara aman. Saya mahu mereka mendapat faedah daripada pemerintahan yang baik,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain