Tujuh Tahanan ISA Setuju Hentikan Mogok Lapar - Suhakam - Semasa | mStar

Tujuh Tahanan ISA Setuju Hentikan Mogok Lapar - Suhakam

TAIPING: Mogok lapar oleh tujuh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Kamunting di sini sejak 12 Mei lepas berakhir pada Jumaat selepas pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan agensi berkenaan.

Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata, tahanan berkenaan melancarkan mogok lapar kerana tidak berpuas hati kerana masih belum dibebaskan walaupun ISA telah dimansuhkan.

"Kesemua tahanan yang melancarkan mogok lapar itu membabitkan enam tahanan warga asing (India, Sri Lanka, Iraq dan Indonesia) dan seorang rakyat tempatan yang ditahan atas pelbagai kesalahan, dan (mereka) mengadakan mogok lapar kerana mahu pembebasan awal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan tahanan berkenaan di sini Jumaat.

Beliau berkata, tindakan mogok lapar itu berakhir selepas pertemuan diadakan antara wakil Suhakam, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan pengurusan Tempat Tahanan Perlindungan itu.

Katanya, pada awalnya mogok lapar itu membabitkan tujuh tahanan sebelum tiga daripada mereka menarik diri pada Selasa lepas yang kemudiannya disertai tiga tahanan lain.

Kesemua tahanan berkenaan beranggapan kesemua individu yang ditahan di bawah ISA perlu dibebaskan berikutan akta itu telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas Suhakam menerangkan bahawa terdapat satu klausa yang memerlukan mereka menghabiskan tempoh tahanan yang ditetapkan kerana akta baru itu digunakan untuk kes-kes baru sahaja, mereka kemudiannya akur.

"Selepas penerangan itu mereka menerima dengan positif lalu bersetuju menghentikan mogok tersebut," katanya.

Beliau berkata, Suhakam akan membawa perkara ini kepada pengetahuan KDN untuk melihat langkah terbaik bagi menanganinya.

"Suhakam akan membuat siasatan sewajarnya dan bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat," katanya.

Pada 9 Mei lepas, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu dibentang ekoran pemansuhan ISA 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

BN, PAS bentuk kerajaan baharu di Johor

Agong cari penyelesaian terbaik