suria

Penduduk Jinjang Selatan Tambahan Serah Memorandum Kepada PM

PUTRAJAYA: Seramai 120 orang penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Kuala Lumpur menyerahkan memorandum di pejabat perdana menteri berhubung masalah geran tanah.

Memorandum itu, antara lain meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan penduduk di kawasan berkenaan, bagi membincangkan masalah yang dihadapi.

Memorandum itu diserahkan wakil penduduk A. Ponnampalam kepada wakil pejabat perdana menteri di Perdana Putra di sini, Jumaat.

Ponnampalan berkata mereka menginap di kawasan perumahan tersusun itu sejak 1969 di tanah lot yang diberikan kerajaan.

Katanya mereka membayar cukai pintu sehingga tahun 2007 dan cukai tanah sehingga 1997, dan enggan meneruskannya kerana dikatakan bayaran itu tidak diterima pihak berkuasa dan mereka masih belum mendapat geran tanah.

Kawasan petempatan seluas 46.5 hektar itu ialah kawasan bekas lombong yang dijadikan tanah lot dengan status lesen menduduki sementara dan kini didiami 525 penduduk. - BERNAMA

Artikel Lain